6 TIPS KEJAYAAN MENJELANG PEPERIKSAAN!



 Hai selamat pagi pelajar, rakan guru, ibu bapa dan semua pengunjung setia blog Ticer Rita. Pagi ini saya ingin berkongsi dengan anda 6 tips paling manjur untuk anda lakukan menjelang peperiksaan ini!




Terdapat pelbagai tips yang anda boleh baca dalam mana-mana tulisan baik pakar motivasi, kaunselor mahupun guru-guru anda. Di sini Ticer Rita senaraikan enam tips yang paling berkesan anda lakukan bermula hari ini:


1. Mengulang kaji mengikut Jadual belajar

Saya yakin anda sudah menyediakan jadual belajar sendiri mengikut subjek yang anda ambil dalam peperiksaan STPM. Jadual tersebut perlulah seimbang untuk semua mata pelajaran dan dipatuhi mengikut tempoh masa yang anda telah tetapkan. Dengan demikian anda tidak akan tertinggal mana-mana bahagian atau topik yang berkaitan dalam semua subjek. Amalan menepati waktu sangat penting untuk membiasakan anda menyelesaikan tugasan sesuai dengan masa yang ditetapkan.



Berdampinglah dengan orang yang pintar kerana kita akan belajar banyak dari mereka


2. Beriltizam (berazam) dan berdaya saing tinggi untuk mencapai sasaran A

Ticer Rita sangat yakin anda sudahpun menetapkan sasaran pada awal semester; apakah gred yang anda ingin capai dalam peperiksaan ini. Berdasarkan gred itulah anda perlu mencabar diri sendiri untuk sedaya upaya mencapai sasaran yang anda telah tetapkan. Sebaik-baiknya letaklah sasaran yang terbaik agar anda intensiti usaha anda dapat ditingkatkan untuk mencapai sasaran tersebut.



kalau hanya fokus kepada kelebihan orang lain dan kelemahan diri sendiri, kepercayaan diri kita sukar berkembang. Maka fokuslah kepada kekuatan sendiri.

3. Tumpuan penuh sepanjang proses pembelajaran berlangsung

Fokus pada sesuatu perkara dalam tempoh masa tertentu memanglah amat sukar. Tumpuan perlu dilatih dan diamalkan setiap kali anda melakukan sesuatu perkara. Semakin kerap anda melakukannya, semakin baiklah fokus anda setiap kali guru mengajar. Lihat pada mata guru ketika dia sedang bercakap, tulis apa yang anda dengar dan tanya bahagian yang anda kurang fahami. Inilah antara langkah-langkah yang dapat membantu meningkatkan tumpuan anda sepanjang masa pembelajaran berjalan.


4. Berbincang/sering bertanya dengan guru anda

Ramai pelajar yang tidak berani bertanya dengan guru apabila mereka musykil akan sesuatu isu atau topik dalam pelajaran mereka. Mereka lebih suka bertanya dengan rakan sebaya; beruntunglah sekiranya rakan tersebut boleh membantu menyelesaikan persoalan tersebut. Saya menggalakkan pelajar untuk sering bertanya terus kepada guru anda supaya maklumat dan penjelasan itu anda peroleh secara langsung daripada guru anda. Selain itu, ini akan merapatkan hubungan interaksi dan komunikasi anda dengan guru. Ingat...guru itu bukan singa😆

Komitmen yang tinggi akan memantapkan langkah kita dan menjaga fokus untuk hasil yang optima. Jaga komitmen dan teruskan perjuangan anda!


5. Hafal fakta dan huraian untuk lebih mudah menulis dalam jawapan

Mungkin ini agak konservatif Ticer Rita masukkan di sini; namun kaedah inilah yang paling mujarab pada saat saat akhir ini untuk meningkatkan keyakinan anda ketika menulis jawapan semasa peperiksaan nanti. Pengalaman ticer, ramai pelajar yang tidak mengingat maksud dan konsep sesuatu fakta akan kehilangan punca menulis jawapan yang baik semasa peperiksaan.

Jangan sesekali berfikir untuk berhenti dari apa yang telah kamu usahakan selama ini, kerana langkahmu sudah terlalu jauh untuk mengalah!


6. Latih tubi menjawab soalan-soalan tahun lepas

Tips terakhir ticer Rita kali ini ialah latih tubi menjawab soalan tahun-tahun lepas. Ini sangat membantu anda untuk membiasakan dengan format soalan dan jika anda melihat bentuk soalan itu dengan kerap; pasti dapat memudahkan anda mengingat fakta dan huraian yang berkaitan dengan topik tersebut. Kumpul soalan-soalan tersebut dan cuba mencari jawapannya. Anda boleh berbincang dengan guru anda untuk mendapatkan jawapan yang meyakinkan anda.




BK28 (Dominator Team) Kumpulan Sains Sukan sesi 2022

Semoga anda semua berjaya dalam peperiksaan yang bakal dihadapi. Anda juga boleh terus mengulang kaji dengan bantuan video ulang kaji melalui link ini :
1.  ULANG KAJI SAINS SUKAN SEM 3

SELAMAT MENGULANG KAJI!💥













Previous Post Next Post