PROGRAM Jiwa Murni atau lebih dikenali sebagai Civil
Military Cooperation (CIMIC) menjadi platform mengukuhkan hubungan antara tentera dan
masyarakat selain menjadi teras keempat dalam Pelan Strategik Mindef 2021-2025.
Program Jiwa Murni ini merupakan sebahagian daripada pengisian
sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-91, yang
akan diraikan pada 27 April 2025.
Program ini dirangka bagi mendekatkan TLDM dengan pelbagai agensi luar,
khususnya Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta institusi pendidikan dari
peringkat sekolah rendah hingga ke tingkatan enam.
Melalui pendekatan berkonsepkan "Hari Terbuka", program ini
membuka ruang kepada masyarakat umum, warga pendidik, serta pelajar untuk
mengenali dengan lebih dekat peranan, aset, dan kerjaya dalam TLDM. Program ini
turut bertujuan memupuk semangat patriotisme dan kesedaran keselamatan negara
dalam kalangan generasi muda sambil mengukuhkan jaringan kerjasama antara TLDM
dan komuniti awam.
Bila dilaksanakan?
Tahun ini Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) markas Armada Timur berpangkalan di Sepanggar Kota Kinabalu telah bekerjasama dengan Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu dalam Program Jiwa Murni. Program ini akan diadakan pada 23 April 2025 (Rabu) di KTE Kota Kinabalu bermula 8.00 pagi sehingga 4.00 petang.
Objektif?
Di antara objektif Program Jiwa Murni:
- Memupuk semangat kenegaraan dalam kalangan pelajar.
- Memperkenalkan Hari TLDM kepada pelajar dan masyarakat setempat.
- Memberi pendedahan mengenai pengoperasian helikopter TLDM dan kerjaya dalam TLDM.
- Mengeratkan kerjasama antara TLDM, KTEKK, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Di antara unit atau agensi yang terlibat adalah JBPM KK, Balai Bomba Lintas, Balai Bomba Putatan, Bomba MPKK, PROTELA KK, Bulan Sabit Merah Malaysia cawangan KK, Angkatan Pertahanan Awam KK dan HATWKK. Penduduk sekitar Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu seperti Manggatal, Inanam dan kawasan berhampiran adalah dijemput untuk memeriahkan program tersebut.