MEMBINA DIET YANG SIHAT DAN SEIMBANG

 Apa itu "pinggan sihat"? 

Ia merupakan satu panduan pemakanan sihat praktikal yang mudah difahami dan diikuti untuk mengamalkan diet yang seimbang dan lengkap. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyediakan satu gambar rajah mudah untuk panduan individu dalam penyediaan diet yang seimbang.

sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Beberapa tip dan panduan yang boleh diamalkan oleh individu yang berhasrat untuk mengekalkan berat badan yang ideal.

1. Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan (1/2 daripada pinggan anda)

Pemilihan pelbagai warna dan jenis sayur dan buah-buahan. Ingat! kentang tidak dikira sebagai sayur-sayuran dalam pinggan sihat kerana kesannya negatif terhadap paras gula dalam darah.

sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

2. Pilih bijirin penuh (1/4 daripada pinggan anda)

Bijirin penuh dan tidak diproses seperti gandum penuh, oat, barli, quinoa, beras perang, serta makanan yang diperbuat daripadanya seperti pasta gandum penuh, mempunyai kesan yang lebih baik terhadap paras gula dalam darah dan hormon insulin berbanding roti penuh, nasi putih dan bijirin diproses.

3. Memilih sumber protein (1/4 daripada pinggan anda)

Ikan, ayam, daging, kekacang merupakan sumber protein yang sihat dan boleh dicampurkan ke dalam salad dan digandingkan dengan sayur-sayuran dalam hidangan. Hadkan pengambilan daging merah dan elakkan daging yang diproses seperti bacon, nugget atau sosej.


sumber: https://kliniksabah.com/tag/pinggan-sihat-malaysia/

4. Pengambilan minyak tumbuhan sihat (secara sederhana)

Pilih minyak sayuran yang sihat seperti minyak zaitun, kanola, soya, jagung, bunga matahari, kacang dan minyak tumbuhan lain. Elakkan minyak separa terhidrogenasi yang mengandungi lemak trans yang tidak sihat. Ingat! makanan rendah lemak tidak semestinya bermaksud "sihat".

5. Minum air, kopi atau teh?

Elakkan minuman bergula. Minum teh atau kopi tanpa gula atau sedikit gula sahaja. Hadkan pengambilan susu dan produk tenusu kepada satu hingga dua hidangan sehari, serta hadkan pengambilan jus kepada segelas kecil setiap hari.

6. Kekal aktif

Dalam amalan pinggan sihat, anda perlulah sentiasa aktif supaya berat badan yang ideal kekal. Aktiviti sekurang-kurangnya 30 minit dalam satu sesi dan dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu.

Semoga panduan ini dapat meningkatkan motivasi anda untuk terus sihat dan aktif.

Kredit kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan KlinikSabah atas gambar panduan pinggan sihat "suku-suku-separuh"